Total Pageviews

Saturday, June 2, 2012

Kereta Dua Alam









BENTUKNYA tidak ubah seperti kombinasi bot dan kereta, sekali gus memberi gambaran kenderaan unik ini mampu bergerak dalam dua alam berbeza.
Kelihatan cukup teguh menyusuri trek 20 meter yang bermula dengan laluan kering hinggalah kepada rintangan berair, kenderaan kerdil ini sebenarnya digerakkan dengan tenaga dibekalkan bateri. 
Itu adalah gambaran kasar pertandingan Kenderaan Elektrik Amfibia atau ‘Amphibious Electric Vehicle’ yang berlangsung di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wajah riang jelas kelihatan pada peserta daripada kategori sekolah 23 pasukan dan kategori terbuka - 33 pasukan terbuka. Sambil bersemangat melihat kenderaan masing-masing meluncur laju di trek, sesekali terdengar hilai tawa, terutama apabila kenderaan mereka memintas lawan.

Lebih meriah, pengunjung turut bersorak sebaik menyaksikan persaingan kenderaan mini itu, seolah-olah masing-masing kembali dalam dunia kanak-kanak.

Akhirnya, kumpulan ZRTJA yang mewakili Universiti Teknikal Melaka (Utem) mengungguli pertandingan kategori terbuka dengan tiga saat di depan pesaingnya, 1-RSV.

Menurut ahli pasukan ZRTJA, Amjad Saddar Md Isa, 22, mungkin ada beranggapan rekaan model kenderaan elektrik amfibia mini kelihatan mudah dan bagai kereta mainan, namun baginya, ia pertandingan yang penting.

Katanya, dalam pertandingan itu, dia serta rakannya menguji kemampuan mereka dalam menaik taraf model berkenaan supaya mampu memberi saingan kepada peserta lain.

“Segelintir individu yang menyertai serta menyaksikan pertandingan ini mungkin berasa ia hanya pertandingan ‘kereta mainan’ biasa, tetapi bagi pasukan saya, kami memandang serius ciptaan kenderaan dua alam ini seperti rekaan kenderaan sebenar.

“Kami menentukan bentuk, enjin serta bateri digunakan. Diringkaskan, kami mencipta model kereta 100 peratus berdasarkan kreativiti kami,” katanya.

Mengenai pengalaman pasukannya menyertai pertandingan itu, Amjad berkata, cabaran kali ini berbeza daripada pertandingan yang pernah mereka sertai.

“Sebelum ini pertandingan reka cipta kenderaan anjuran MyRobotz, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Pusat Sains berupa kenderaan solar.

“Namun tahun ini format pertandingan berubah konsep kepada penciptaan kenderaan dua alam dan tentunya persediaan menyiapkan kenderaan itu juga berbeza. Kali ini kami perlu mereka kenderaan yang benar-benar fleksibel di dalam air mahupun pantas di litar darat,” katanya.

Pelajar Kejuruteraan Mekanikal Utem itu berkata, disebabkan cabaran berlainan, tekanan dirasai membuatkan dirinya kurang berpuas hati dengan rekaan keretanya walaupun pertandingan sudah hampir.

“Bayangkan malam sebelum pertandingan, saya serta rakan sukar melelapkan mata.
Kami berjaga sehingga jam 4 pagi kerana berasakan rekaan tidak cukup sempurna.
Setiap bahagian kereta kami teliti dengan berhati-hati bagi memastikan tiada masalah pada hari pertandingan.

“Kami bimbang kerana kenderaan dihasilkan perlu bergerak pantas dalam dua medium berbeza. Sudah tentu perkara paling membimbangkan saya ialah rintangan antara trek di darat dan air, yang mampu menyebabkan kereta terbalik kerana kegagalan kenderaan mengharunginya,” katanya yang meminati pertandingan reka cipta, terutama membabitkan kejuruteraan automotif.

Berbeza bagi rakannya, Mohammad Hazwan Ruslan, perasaan gemuruh tidak dapat menyaingi rasa terujanya menguji kepantasan kenderaan rekaan pasukannya.

“Memang gemuruh serta sedikit tertekan pada mulanya, tetapi sebaik melihat kenderaan ciptaan kami bergerak pantas di pelantar, keseronokan dan perasaan gembira jelas mengatasi segala-galanya.

“Terutama ketika perlumbaan pertama, kenderaan amfibia pasukan saya berjaya merekod catatan tujuh saat bagi trek sepanjang 20 meter. Pencapaian itu membuatkan segala tekanan dan kesusahan ketika menghasilkan kereta kami hilang begitu saja. Malah, ia catatan terbaik direkodkan ketika pertandingan berlangsung,” katanya yang mengimpikan peluang bergelar jurutera automotif Proton Holdings Berhad.

Dia yang berasal dari Bukit Baru, Melaka berkata, kejayaan pasukannya memenangi pertandingan tidak datang bergolek, sebaliknya berkat kesungguhan mencari kesempurnaan dalam memastikan kereta dua alam tahan lasak dalam beberapa siri perlawanan.

“Bayangkan ada saja masa terluang, kami habiskan untuk menyiapkan kenderaan berkenaan. Kami perlu mempertimbangkan segenap segi yang mampu membantu kenderaan kami kekal pantas.

“Daripada rekaan bentuk hinggalah penggunaan material bagi memastikan kenderaan kami bukan saja laju tetapi kekal stabil sewaktu menyelusuri jalan berbeza,” katanya.

Rakannya, Muhammad Razil Razali, 21, berkata pemilihan material bagi membina kenderaan amfibia sangat penting dan bahan digunakan perlu ringan, sekali gus membantu kereta bergerak pantas dalam apa juga keadaan.

“Sebaik-baiknya ia kalis air supaya tidak berlaku penyerapan air yang bakal menambah beban kenderaan. Terbaik setakat ini yang mempunyai kriteria berkenaan ialah gabus.

“Tambahan pula, kereta perlu melalui beberapa siri perlumbaan. Tidak mustahil setiap kali melalui ‘medium’ mengandungi air, kereta menjadi perlahan kerana air menyerap pada tayar dan badan kenderaan. Kadangkala akibat terlalu kerap terendam dalam air, enjinnya turut mengalami gangguan.

“Oleh itu, kami perlu membuat persediaan rapi atau ‘back-up plan’ andainya berlaku kerosakan,” katanya yang mengakui pernah menghadapi saat mencemaskan pada pusingan ketiga di mana kenderaan pasukannya terbalik.

Katanya, ketika itu ada juga rasa ingin putus asa kerana ada kerosakan kecil pada enjin kenderaan, namun ketika enjin dikeringkan dan bateri ditukar, kenderaan pasukannya kembali berfungsi.

“Sebaik kereta terbalik, enjin kereta terkena air. Kereta gagal bergerak, menyebabkan kami ingin menarik diri. Mujur rakan menyarankan enjin kenderaan dikeringkan, begitu juga dengan komponen lain.

“Alhamdulillah, ikhtiar kami berhasil dan akhirnya pasukan kami berjaya bertahan sehingga menjuarai pertandingan.

“Ia memberikan kami semangat untuk menyertai lebih banyak pertandingan kelak,” katanya yang berminat dengan teknologi Honda dalam perusahaan automotif.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersilan Mosti, Datin Nur Wahidah Wong Abdullah berkata, pertandingan mendapat sambutan menggalakkan meskipun julung kali diadakan.

“Mosti selaku penganjur bersama MyRobotz dan Pusat Sains Negara berasa kenderaan dua alam boleh memperluaskan lagi prospek kreativiti mereka yang menyertainya.

“Boleh dikatakan kebanyakan yang hadir dalam pertandingan ini atas faktor minat berbanding ganjaran ditawarkan.

“Ramai sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menguji kenderaan masing-masing. Ini menunjukkan ada juga golongan meminati bidang reka cipta di Malaysia.

“Dengan adanya golongan ini, kami berharap mereka akan terus menyertainya dan pihak saya berusaha menyediakan kemudahan dan membantu penganjur seperti MyRobotz untuk menganjurkan pertandingan berkenaan pada skala lebih besar,” katanya.

No comments:

Post a Comment